Friday, July 14, 2017

Baginda Sultan bercemar duli bersama rakyat di Daerah Belait








Oleh Hajah Saemah Kepli
Gambar oleh Hajah Saemah dan Infofoto

KUALA BELAIT, 24 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70 tahun bagi Daerah Belait.
Keberangkatan Baginda bercemar duli bagi majlis tersebut diiringi bersama keberangkatan paduka-paduka anakanda dan adinda iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja, Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Belait itu diserikan lagi dengan persembahan khas yang bertemakan ‘Raja Tersohor, Negara Makmur, Rakyat Bersyukur’ sebagai tanda semaraknya kasih, kegembiraan dan kesyukuran lapisan masyarakat dan penduduk di daerah ini dalam menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan.
Wakil warga emas Daerah Belait
Mewakili warga emas di daerah Belait, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin berkata, tema tahun ini amat bersesuaian, dan seluruh warga emas menyembahkan rasa bersyukur dan sentiasa mendoakan semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah negara dengan aman dan sejahtera. Mereka juga menyembahkan rasa terima kasih mereka atas keprihatinan Baginda selama ini kepada warga emas yang sentiasa dipeduli contohnya melalui pemberian Skim Pencen Umur Tua kepada penduduk dan rakyat yang berumur 60 tahun ke atas.
Sementara itu Awang Atom Anak Ujan, 98, dan merupakan warga emas yang paling tua, menghadirkan diri bagi pengisian khemah warga emas, sanggup datang dari Mukim Melilas dihantar oleh cucunya, semata-mata mahu menatap wajah Baginda Sultan dan berjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda dalam suasana bersama rakyat itu.
Golongan istimewa

Turut mengambil kesempatan melibatkan diri pada majlis tersebut, ialah golongan orang-orang kelainan upaya (OKU) dan berkeperluan khas di Daerah Belait, menggabungkan lima organisasi iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Cawangan Belait, Persatuan SMARTER, Pusat Bahagia Eric Goh, Persatuan KACA dan Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan, dengan aktiviti-aktiviti yang dipersembahkan seperti aktiviti harian sekolah, dan juga persembahan gabungan daripada Pusat Ehsan, Orang Kurang Pendengaran dan Sekolah St John Kuala Belait.
Di khemah tersebut juga turut menampilkan keupayaan seorang insan yang cacat penglihatan tetapi masih mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan kaedah penggunaan Braille.
Insan istimewa itu, Dayangku Soffiezah binti Pengiran Haji Abu Bakar, telah membacakan Surah Al-Baqarah, dengan dibantu oleh Ustazah Saarah binti Haji Dollah sebagai pentasmik bacaan.
Serikandi negara
Turut sama menyertai Majlis Ramah Mesra ialah dua orang serikandi negara iaitu Dayang Rapidah binti Haji Abd Rahman dan Dayang Siti Nazurah binti Haji Mohamad Usop.
Dayang Rapidah bertugas sebagai juruterbang Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan merupakan juruterbang wanita kedua bagi syarikat tersebut, sudah bertugas selama tujuh tahun.
Ini merupakan kali pertama beliau berkesempatan menyertai majlis junjung ziarah kehadapan Majlis Baginda Sultan kerana tahun-tahun sebelumnya beliau sedang menjalankan tugas.
Manakala Dayang Siti Nazurah pula merupakan wanita kedua sebagai pegawai anggota pemadam api bagi Balai Bomba Syarikat BSP Sdn Bhd.
Pada masa ini beliau mengendalikan Latihan kecekapan Pemadam Api, sudah bertugas selama sembilan tahun, dan berasa bertuah kerana berkesempatan menyertai majlis junjung ziarah pada tahun ini bersama rakan-rakan lainnya.
Beliau juga rasa bersyukur dan berterima kasih, kerana telah diberikan peluang sama untuk menjelaskan mengenai dengan tugas mereka semasa keberangkatan Baginda Sultan ke khemah mereka.
Penduduk antarabangsa yang bermastautin di Daerah Belait juga turut berkesempatan untuk hadir ke majlis berkenaan yang terdiri daripada kakitangan di tiga buah syarikat iaitu, Syarikat BSP Sdn Bhd, Syarikat BLNG Sdn Bhd dan Syarikat BGE dan Syarikat Brunei Methanol BME.
Gabungan kakitangan berkenaan berkenaan mempersembahkan permainan muzik tradisional daripada warga Scotland dan menamakan kumpulan mereka sebagai Casual Ceilidh Band.
Liam Hara selaku wakil kumpulan berkenaan berasa sangat gembira dengan peluang tersebut apatah lagi dapat bersemuka dengan Baginda Sultan dan berkata bahawa itu adalah satu peluang keemasan yang sangat dinanti-nantikan oleh mereka semua.
Badan-badan bukan Kerajaan (NGO)
Beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan di daerah ini antaranya Kumpulan Pemilik Skuter (S.O.G) yang diketuai oleh Haji Derius bin Haji Haris.
Menurut Haji Derius keberangkatan KDYMM memang sering dinanti-nantikan oleh rakyat dan ahli-ahli daripada kumpulan mereka juga sentiasa menantikan saat yang gembira ini untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan.
Sementara itu mewakili Persatuan Sutera, Haji Jumaat bin Idris, pula berkata, format pada tahun ini sedikit sebanyak memberikan peluang beberapa organisasi dalam satu khemah dan ini membuktikan kesepaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk, tanpa mengira samada ianya kalangan persatuan peniaga-peniaga, persatuan belia, pertubuhan politik, dan sebagainya, tetapi tujuan dan harapan dalam perjuangan masing-masing tetap sama, iaitu ke arah bersama-sama dengan Baginda Sultan untuk membangun bangsa dan negara seperti yang dicita-citakan oleh kerajaan Baginda Sultan.
Tema Majlis Ramah Mesra tahun ini
Tema Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Belait tahun ini, antara lain, mencerminkan Baginda Sultan sebagai seorang pemimpin dan ketua negara yang tersohor serta dihormati seluruh dunia.
Baginda adalah seorang raja yang sangat dikasihi oleh rakyat dan penduduk di negara ini.
Baginda adalah seorang raja dan pemimpin negara yang bijaksana, berkarisma, penyayang dan sangat pemedulian terhadap hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam.

0 comments:

Post a Comment