Taiping - Orang ramai dinasihati agar tidak memandang ringan sekiranya mereka digigit atau dicakar oleh kucing kerana ia mempunyai risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negri, Dr. Fuziah Muhayat, risiko jangkitan penyakit itu bukan hanya melibatkan anjing.
"Bukan hanya kalau digigit anjing, orang ramai juga harus segera ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika digigit atau dicakar kucing kerana berkemungkinan risiko jangkitan rabies berlaku," katanya.
Bernama melaporkan, Selasa lalu, seorang suri rumah digigit kucing peliharaannya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang namun tiada tanda klinikal pada kucing terbabit.
Bagaimanapun, kucing itu telah dikuarantin serta pemerhatian klinikal dilakukan keatasnya sehingga tempoh 14 hari.
Sementara itu, pemilik kucing tersebut Norhayati Abdul Hamid, 41, tidak menyangka sama sekali haiwan peliharaannya itu akan menggigitnya.
Norhayati berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika dia sedang menyiang ikan belanak di rumahnya sebelum tiba-tiba kucing peliharaannya menggigit jari kanannya.
"Saya ingat gigitan ini tidak memudaratkan sehingga kakitangan DVS mengarahkan saya mendapat rawatan kerana sekarang ini wabak penyakit anjing gila di sini," katanya kepada Bernama.
0 comments:
Post a Comment