Wednesday, August 23, 2017

Keperluan warga emas terus diberi perhatian

Datuk Lee Chuen Wan dan Datuk Naomi serta ahli-ahli Kelab Rotary Daerah Belait lainnya ketika mengunjungi kediaman warga emas berkenaan.

KUALA BELAIT, 22 Ogos – Warga emas yang tinggal di kawasan pedalaman turut menjadi perhatian dalam rangka lawatan District Governor 3310 Kelab Rotary Antarabangsa, Datuk Lee Chuen Wan dan isterinya, Datuk Naomi selama sesi lawatan ke Kelab Rotary Daerah Belait, di sini.
Warga emas tersebut, Ah Siew, 69, pada masa ini hidup bersendirian di kediamannya di Labi dalam keadaan buta, di mana pada tahun 2013 beliau telah menerima bantuan berupa pemasangan tenaga solar daripada Kelab Rotary Daerah Belait di rumah papannya.
Dengan adanya bantuan tersebut, kediaman Ah Siew kini dilengkapi dengan kemudahan elektrik yang sedikit sebanyak telah membantu kehidupannya sehari-harian, selain menerima bantuan-bantuan lain daripada orang ramai dari segi keperluan makanan asasi dan sebagainya.
Menurut Datuk Lee Chuen Wan, beliau amat gembira melihat Kelab Rotary Daerah Belait yang telah berjaya melaksanakan aktiviti membantu warga emas yang memerlukan itu dan telah terus-menerus mengunjunginya sebagai tanda prihatin dan rasa kasih sayang kepada masyarakat yang memerlukan.
Beliau seterusnya berharap supaya ahli-ahli Kelab Rotary Daerah Belait akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih aktif supaya setiap aktiviti yang dilakukan boleh mencapai matlamat asal kelab itu ditubuhkan secara antarabangsa.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penderma-penderma yang selama ini telah memberikan sokongan kepada kelab mereka termasuklah kepada warga emas yang buta itu dan juga penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria dan sebagainya.
Semasa kunjungannya ke kediaman Ah Siew, beliau juga sempat meninjau ke kawasan persekitaran kediaman warga emas itu dan turut menyarankan kepada ahli-ahli Kelab Rotary Daerah Belait untuk sentiasa memerhatikan keperluan warga yang tidak berdaya itu, lebih-lebih lagi beliau kini tinggal bersendirian dalam keadaan usia yang sudah tua.

0 comments:

Post a Comment