Wednesday, February 7, 2018

58 mangsa banjir terima bantuan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 16 Jan – Menteri Pendidikan yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman hari ini menyempurnakan pengagihan bantuan daripada Yayasan kepada 58 mangsa banjir di Mukim Bukit Sawat, Labi dan seterusnya membuat lawatan ke Sekolah Rendah Orang Kaya Pemancha Berandai, di sini.
Hadir sama semasa pengagihan bantuan tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanafi bin Mohd Siput; Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny dan Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad.
Pengendalian pengagihan barangan bantuan ke 12 buah rumah mangsa banjir di mukim berkenaan telah dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik Yayasan iaitu Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam dalam menyediakan pengangkutan.
Turut memberikan bantuan pengangkutan ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Salah seorang mangsa banjir di kawasan Bukit Sawat, Awang Zaini bin Haji Mohd Ramle memberitahu Media Permata, keadaan banjir telah menjejaskan kawasan kediaman mereka selama lebih kurang sebulan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyempurnakan pengagihan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di mukim tersebut.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama rombongan menaiki bot pergi ke rumah-rumah mangsa banjir untuk menyempurnakan pengagihan bantuan.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menandatangani fail lawatan sekolah sambil diperhatikan oleh murid-murid.
Menurutnya lagi, banjir kerap berlaku di kawasan mereka dan paras air naik sehingga mencecah ke paras pinggang.
“Sumbangan yang dihulurkan oleh Yayasan hari ini amat bermakna buat kami dan mampu mengurangkan beban kami sekeluarga,” katanya.
Beliau yang tinggal bersama lima orang anaknya, berusia antara enam hingga 15 tahun, terpaksa menggunakan sampan untuk pergi ke kedai membeli keperluan asasi sejak banjir menjejaskan kawasan mukim berkenaan.
Sumbangan bagi membantu para mangsa banjir tersebut selaras dengan dasar penubuhan Yayasan dan secara berterusan melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Sejurus selepas selesai pengagihan bantuan, Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi kemudian membuat lawatan ke Sekolah Rendah Orang Kaya Pemancha Berandai.
Hadir mengalu-alukan ketibaan Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan rombongan ialah Ketua Kluster Enam Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Asmah binti Awang Tengah serta guru-guru dan warga sekolah berkenaan.
Semasa lawatan tersebut, beliau berpeluang mendengarkan taklimat mengenai beberapa pencapaian murid-murid yang disampaikan oleh guru-guru sekolah tersebut, seterusnya sempat meninjau ke bilik-bilik darjah dan berpeluang beramah mesra dengan murid-murid serta menandatangani buku lawatan sekolah.
Sekolah tersebut mempunyai seramai 15 orang murid yang belajar daripada Pra Sekolah hingga Tahun 6 dan mempunyai seramai 11 tenaga pengajar.
Mukim Bukit Sawat merupakan salah sebuah daripada lapan buah mukim di Daerah Belait yang terletak di kawasan pedalaman di bahagian Selatan Mukim Sungai Liang, terdapat berbagai kemudahan di sini, termasuklah dua buah sekolah rendah di Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking Ulu.
Selain itu kemudahan lain seperrti klinik kesihatan, dewan serbaguna, masjid, sebuah stesen pertanian luar bandar, taman rekreasi dan sebagainya juga tersedia di mukim tersebut.

0 comments:

Post a Comment