Friday, July 14, 2017

16 warga asing disiasat


Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 23 Sept – Seramai 16 warga asing telah dikeluarkan pas khas bagi siasatan dan pengesahan dokumen asal mereka semasa pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, cawangan Kuala Belait melalui Operasi Cekup JIPK 66/2015, di sini, malam tadi.
Operasi yang melibatkan 18 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Belait dan Bandar Seri Begawan dengan diketuai oleh ketua pegawai imigresen itu telah memeriksa seramai 38 orang warga asing, di 10 lokasi berbeza termasuk rumah-rumah kebun, tempat tinggal dan rumah sewa pekerja asing di sekitar kawasan Labi.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Kuala Belait, dalam satu kenyataan, hari ini, sekali lagi mengingatkan para majikan dan mana-mana individu terutamanya warganegara asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar atau menyalahi sebarang akta dan peraturan imigresen.
Beliau menekankan bahawa Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan secara berterusan sama ada secara persendirian atau bersama agensi penguatkuasaan yang lain.
Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut, orang ramai dialu-alukan bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8753888 atau 8734888.
Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

0 comments:

Post a Comment