Friday, July 14, 2017

Tutong, Belait mulai banjir

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Kejadian hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari ke belakangan ini menyebabkan beberapa kawasan di pedalaman Daerah Tutong dan Daerah Belait mengalami banjir. Setakat ini 25 buah keluarga didapati rumah mereka dinaiki air, namun keadaan masih terkawal dan tidak membimbangkan.
Antara kawasan yang dikenal pasti terjejas ialah kawasan-kawasan rendah sekitar Kampung Rambai, Kampung Benutan, Kampung Kuala Ungar dan Kampung Panchong di Daerah Tutong dan kawasan Ulu Labi di Daerah Belait.
Jawatankuasa Pusat Pengurusan Bencana Daerah Tutong (DDMC) kini memantau paras air di beberapa kawasan yang terjejas dengan bantuan pihak Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Lamunin serta meletakkan semua pihak dalam keadaan berjaga-jaga.
Pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyediakan kenderaan jenis trak serta beberapa buah perahu oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), selain penyediaan bantuan catuan makanan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat Cawangan Daerah Tutong.
Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohd Ali, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tutong hari ini mempengerusikan mesyuarat penyelarasan di Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Lamunin Tutong, bersama dengan wakil agensi-agensi kerajaan, pemimpin-pemimpin akar umbi dalam kalangan semua penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi kawasan yang terjejas.
Kenderaan bomba yang sedang melintasi dan memantau keadaan jalan di Kuala Ungar - Rambai, Mukim Rambai. – Gambar ihsan Jabatan Daerah Tutong
Kenderaan bomba yang sedang melintasi dan memantau keadaan jalan di Kuala Ungar – Rambai, Mukim Rambai. – Gambar ihsan Jabatan Daerah Tutong
Awang Wardi mempengerusikan mesyuarat DDMC bagi menangani keadaan banjir di kawasan pedalaman dan persekitaran Daerah Tutong.
Awang Wardi mempengerusikan mesyuarat DDMC bagi menangani keadaan banjir di kawasan pedalaman dan persekitaran Daerah Tutong.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan juga selaku Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohd Sunadi bin Haji Buntar serta wakil-wakil daripada pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Kerja Raya; Jabatan Pembangunan Masyarakat Tutong; Polis Diraja Brunei; Hospital Pengiran Muda Mahkota
Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong; Jabatan Kesihatan Tutong, Jabatan Perkhidmatan Elektrik Tutong; dan Jabatan Belia dan Sukan, Tutong.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah tindakan-tindakan yang perlu dibuat bagi menangani kejadian banjir serta langkah-langkah strategik bagi mengawal keadaan jika hujan turun secara berterusan dan mengakibatkan banyak lagi kawasan terjejas dan ditenggelami air.
Selain itu, aspek-aspek keselamatan juga telah diambil kira khususnya untuk meningkatkan rondaan dan kawalan terhadap keselamatan khususnya kereta-kereta penduduk kampung yang diletakkan di kawasan simpang-simpang jalan raya yang tinggi.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Liang telah melaksanakan Operasi Pemantauan Banjir yang diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Liang, Awang Muhammad Ali bin Hassan, sejak tiga hari lalu dan diteruskan lagi hari ini.
Awang Muhammad Ali berkata, banjir berlaku disebabkan limpahan air sungai selepas hujan sejak seminggu yang lalu. Bagaimanapun, tambahnya, Pos Kawalan Insiden (ICP) belum diaktifkan memandangkan keadaan masih terkawal dan tiada rumah dilaporkan terjejas, dan setakat ini banjir hanya melibatkan kawasan jalan raya.
Jalan Kecil Sungai Mau dinaiki air setinggi 0.5 meter.
Jalan Kecil Sungai Mau dinaiki air setinggi 0.5 meter.
Awang Muhammad Ali (belakang, kanan) mengetuai operasi pemantauan banjir di Ulu Labi.
Awang Muhammad Ali (belakang, kanan) mengetuai operasi pemantauan banjir di Ulu Labi.
Kawasan padang Sekolah Rendah Rambai ditenggelami air.
Kawasan padang Sekolah Rendah Rambai ditenggelami air.
Hasil pemantaun kira-kira jam 2:00 petang ini, mendapati semua lokasi jalan raya Mukim Bukit Sawat dinaiki air hingga ke paras lutut atau kira-kira 0.5 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan biasa kecuali bagi kawasan Jalan Singap.
Menurut Awang Muhammad Ali lagi, pemantauan dilakukan sekali sehari ke lokasi-lokasi yang dilaporkan terjejas di Mukim Bukit Sawat dan Mukim Sukang, dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan oleh DDMC Daerah Belait.
“Selain itu, perahu turut disediakan dan ditambat di kawasan jeti Rumah Panjang Sukang bagi kemudahan pengangkutan murid-murid sekolah dan guru-guru di sana. Pemantauan dilakukan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Liang setiap hari, dan jika hujan lebat, anggota bomba akan bermalam di Sukang,” katanya.
Menurut beliau, Ulu Belait sentiasa dilanda banjir jika hujan berterusan, bagaimanapun keadaan kali ini tetap terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk di sana seperti persekolahan dan sebagainya.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati melalui kawasan yang tidak dapat dilalui kenderaan, selain mengingatkan mereka supaya menggunakan jaket keselamatan semasa menggunakan perahu melalui jalan terbabit.
Di kesempatan ini, pihak DDMC Tutong ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan kepada penduduk kampung serta orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan harta benda khususnya dokumen-dokumen penting untuk disimpan di kawasan yang tinggi dan selamat.
Selain itu, orang ramai juga diharapkan agar sama-sama menjaga kesejahteraan ahli keluarga masing-masing dan mengelakkan daripada melakukan aktiviti-aktiviti seperti berenang atau bermandi-manda di kawasan banjir demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Dalam pada itu, Haji Mohd ‘Abdoh dan Haji Muhd Sunadi berserta rombongan turut mengadakan lawatan tinjauan ke beberapa buah kawasan yang terjejas termasuklah singgah ke sekolah-sekolah dan rumah-rumah yang mengalami banjir di Daerah Tutong.

0 comments:

Post a Comment