Tuesday, July 11, 2017

Cadangan Mukim Labi sebagai tapak perekonomian




Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan


BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Kedua-dua bangunan mahkamah di Daerah Tutong iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah telah siap dan telah pun diguna pakai bermula November 2016.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menjelaskan, projek pembinaan bangunan mahkamah-mahkamah berkenaan dilaksanakan melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-10 dan telah dapat menyediakan tujuh buah dewan perbicaraan dan dua ruang pejabat bersama kaunter urusan yang berasingan bagi kegunaan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Yang Berhormat Pehin menyatakan perkara ini semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput juga Ketua Kampung Labi I dan wakil dari Daerah Belait (Zon 2) pada hari ketiga Majlis Mesyuarat Negara bersidang, hari ini.
Menurut beliau lagi, bagi kesempurnaan projek berkenaan terdapat beberapa tawaran di bawah kontrak provisional yang juga sedang dalam perlaksanaan melalui RKN iaitu kerja-kerja memasang pagar kawasan bangunan, kerja-kerja pemasangan sistem persidangan, kerja-kerja pemasangan peralatan kawalan keselamatan CCTV dan kerja-kerja pemasangan papan tanda.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman.
Yang Berhormat Awang Hanapi.

Dalam hubungan ini, segala perbelanjaan berkaitan dan pemeliharaan dan penyelenggaraannya telah pun disediakan dalam perbelanjaan berulang-ulang, tambah beliau.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyentuh persoalan yang dibangkitkan mengenai pelan bandar dan desa bagi Mukim Labi sebagai kawasan perekonomian, sama ada terdapat rancangan dan jenis perindustrian yang dikenal pasti.
Beliau memaklumkan, ada beberapa cadangan projek tapak-tapak perekonomian di Daerah Belait bagi RKN ke-11 termasuklah program pengeluaran buah-buahan dan program pertumbuhan kawasan baru untuk meningkatkan produktiviti industri pertanian pelbagai tanaman dan rancangan pembangunan industri ternakan bagi menjana pengeluarannya.
“Walau bagaimanapun, projek-projek ataupun program-program ini masih lagi dalam penelitian pihak-pihak yang berkenaan untuk dipertimbangkan dalam RKN ke-11 dan ianya adalah tertakluk kepada viability projek-projek tersebut dan juga tertakluk ke atas keutamaan-keutamaan kerajaan dalam menimbangkan projek-projek RKN ke-11 nanti,” tambah beliau.

0 comments:

Post a Comment