Tuesday, July 11, 2017

Program konvoi BMOG ke Labi



Oleh Hajah Saemah Kepli
Oct 18, 2016


KUALA BELAIT, 17 Okt 2016– Kira-kira 20 orang ahli Kumpulan Pemilik Mercedes Brunei (BMOG) telah mengadakan program konvoi memandu dengan selamat menuju ke kawasan pedalaman Labi, di sini, hari ini.

Kumpulan tersebut yang turut melibatkan penyertaan ahli-ahli keluarga mereka, mengisikan aktiviti program dengan melawat penghuni di Rumah Panjang Teraja di mana ketibaan mereka telah dialu-alukan oleh ahli-ahli Biro Wanita rumah panjang tersebut dan juga penghuni lainnya.

Mengetuai rombongan bagi program tersebut ialah Presiden BMOG, Haji Norahmadi bin Haji Kepli, selain turut disertai oleh Pengerusi BMOG, Haji Abdul Rahman Mohsin.

Menurut Haji Norahmadi, program tersebut antara lain bertujuan memberikan peluang kepada ahli-ahli BMOG mengambil pengalaman memandu dengan selamat menggunakan jalan raya lama di kawasan pedalaman Labi dan juga untuk memberikan peluang sambil menikmati keindahan alam semula jadi di persekitaran kampung serta memberikan pengalaman baru berkunjung ke rumah panjang dan mengetahui kebudayaan penghuni di sana.

Semasa kunjungan, mereka telah disediakan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan Kaum Iban, seperti pameran buatan kraf tangan, permainan tradisional, makanan tradisi dan sebagainya.
BMOG ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu, dan pada masa ini keahliannya semakin meningkat kepada hampir 60 orang.

Sejak ditubuhkan, kumpulan berkenaan telah banyak mengadakan aktiviti mengeratkan persahabatan dengan pemilik-pemilik Mercedes tempatan dan juga negara jiran, malah sekarang sudah bertaraf antarabangsa.

“Kumpulan BMOG juga merancang akan menyertai program undangan negara ASEAN tidak lama lagi dan kami terus mengalu-alukan kepada mereka yang berminat untuk menyertai kumpulan kami bolehlah melayari www.bruneimercedesownersgroup.blogspot.com atau melalui media sosial, Facebook BMOG untuk mendapatkan maklumat lanjut,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment