Friday, July 14, 2017

Kekalkan kebersihan masjid


Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 25 April – Sebagai usaha mengekalkan kebersihan dan keindahan masjid, sekali gus sentiasa memberikan tahap keselesaan kepada para jemaah, Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Belait bersama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Labi telah mengendalikan kempen gotong-royong membersihkan kawasan Masjid Kampung Labi, di sini, hari ini.
Kempen tersebut merupakan kesinambungan daripada kempen-kempen yang diadakan secara serentak di masjid-masjid seluruh negara sempena Sambutan Awal Hijrah.
Di samping itu, kempen bertujuan sebagai usaha untuk melahirkan individu yang sentiasa memelihara kebersihan masjid, selain memberikan peluang kepada para peserta kempen merebut pahala dalam membersihkan Rumah Allah, dan juga bagi memberikan kesedaran sama-sama menjaga kebersihan selepas menggunakan kemudahan yang terdapat di kawasan masjid seperti tandas, tempat berwuduk, serta kawasan dalam dan luar masjid.
Kempen ini juga dihasratkan mengukuhkan lagi tali silaturahim, dan memberikan peluang kepada masyarakat luar untuk turun padang dalam memeduli kemaslahatan penduduk luar bandar.
Terlibat menyertai kerja gotong-royong tersebut ialah warga Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Penerangan, Jabatan Daerah Belait, Institusi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Daerah Belait, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan penduduk Kampung Labi.
Dalam pada itu, pihak penganjur kempen juga melahirkan harapan supaya semua pihak akan dapat memberikan kerjasama dalam sentiasa menjaga dan memelihara kebersihan masjid, di samping menjaga tatatertib semasa menggunakan tandas, membersihkan selepas penggunaannya, mengelakkan membuang sampah dalam tong tandas, menutup paip air selepas menggunakan, selain dinasihatkan supaya tidak berlebihan menggunakan air ketika berwuduk dan sebagainya

0 comments:

Post a Comment