Thursday, July 13, 2017

Singgah di Rumah Panjang Teraja


Berbagai-bagai pertunjukan tradisional termasuk menyumpit disediakan untuk menghiburkan para pengunjung Rumah Panjang Teraja.

Oleh Hajah Saemah Kepli



KUALA BELAIT, 24 Okt – Rumah Panjang Teraja yang terletak di pinggir Mukim Labi terus menjadi tumpuan pengunjung terutamanya dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara setelah selesai melakukan aktiviti cabaran seperti ‘jungle trekking’ dan perkhemahan di kawasan Bukit Teraja untuk menikmati keindahan hutan yang masih asli dan air bersih yang mengalir di tasiknya.

Hari ini, lebih 30 orang dari pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta juga telah berkunjung ke rumah panjang tersebut, setelah selesai melakukan aktiviti cabaran ‘jungle trekking’ di Bukit Teraja.

Program lawatan yang disusun oleh Syarikat Sakam Adventure itu telah diketuai oleh Awang Bahari Abdullah, dan ketibaan mereka ke Rumah Panjang Teraja dialu-alukan oleh ahli-ahli biro wanita yang diketuai oleh Dayang Embong Munah.

Rombongan tersebut yang turut disertai oleh pelakon terkenal negara, Liyana Yus, telah berpeluang menyaksikan berbagai-bagai persembahan tradisional, selain menyaksikan pameran kraf tangan yang dihasilkan oleh kaum wanita di rumah panjang berkenaan.

Mereka juga mendengar taklimat mengenai sejarah rumah panjang tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi Rumah Panjang Teraja Awang Burong Nyanggau.

Ketua Biro Wanita Rumah Panjang Teraja, Dayang Embong dalam taklimatnya memberitahu, antara kegiatan wanita-wanita di rumah panjang tersebut adalah mengadakan Bengkel Kraf Tangan pada setiap hujung minggu, sementara bagi remaja lelaki dan perempuan pula diadakan Bengkel Tarian Ngajat setiap dua kali sebulan.


Gambar ramai rombongan pelawat dan penghuni Rumah Panjang Teraja.


Awang Burong Nyanggau pula memberitahu, penghuni rumah panjang itu sering dikunjungi oleh anak-anak dan ahli keluarga mereka yang tinggal di kawasan bandar kerana bekerja dan bersekolah pada hujung minggu, dan semasa berkumpul, berbagai-bagai aktiviti riadah diadakan antaranya kempen membersihkan dan mencantikkan landskap kawasan rumah panjang tersebut setiap tiga bulan sekali, dan aktiviti riadah lainnya bersama ahli keluarga mereka.

Di samping itu, ahli-ahli biro wanita rumah panjang itu juga tidak pernah ketinggalan untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Labi seperti jualan bazar setiap dua minggu sekali dan sebagainya.

Kawasan Mukim Labi terutama Kampung Teraja merupakan salah satu destinasi pelancongan negara yang banyak menyimpan seribu keindahan flora dan fauna terutama keindahan wasai yang terdapat di kawasan kampung berkenaan, antara yang menarik dan sering menjadi kunjungan bagi pelancong cabaran adalah ke Bukit Teraja, Wasai Teraja, Wasai Beluluk dan Wasai Geratong.

Sementara itu, dari segi sejarah, rumah panjang pula merupakan tempat kediaman Kaum Iban yang pada zaman dahulu kala kaum mereka ini terkenal sebagai pemburu kepala, tetapi kini lebih aktif dalam aktiviti pertanian, dan penghuni rumah panjang lazimnya sentiasa menyambut mesra setiap pengunjung mereka.

0 comments:

Post a Comment