Wednesday, August 16, 2017

Dua saudara baru diraikan dalam majlis pengislaman

Acara pengislaman ke atas seorang lelaki dan perempuan berbangsa Iban berlangsung di Dewan Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait kelmarin.
Acara pengislaman ke atas seorang lelaki dan perempuan berbangsa Iban berlangsung di Dewan Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait kelmarin.

Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 10 Ogos – Seorang lelaki dan seorang perempuan berbangsa Iban telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, di sini, hari ini.
Vincent anak Belang, 41, yang berasal dari Sarawak, telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Azamir bin Abdullah Belang, manakala itu, Kemis anak Eram, 41, dari Kampung Malayan Labi, Daerah Belait, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Nurul Ain binti Abdullah Eram.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum acara pengislaman dan seterusnya penyampaian cenderahati kepada kedua-dua saudara baru itu yang telah disempurnakan oleh Penolong Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Setiap mualaf yang baru memeluk agama Islam dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah iaitu Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari dan Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari, kedua-duanya diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, manakala itu, Kursus Bimbingan Lanjutan 1 dan Lanjutan 2 pula kedua-duanya diadakan secara berasrama di Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, Bandar Seri Begawan.
Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait menyatakan, sejak awal Januari lalu sehingga hari ini, seramai 47 orang telah memeluk Islam, manakala itu, pada tahun lalu mereka mencatatkan seramai 110 orang.
Daripada jumlah itu, pengislaman dalam kalangan bangsa Iban adalah yang tertinggi iaitu seramai 26 orang bermula Januari hingga Julai, manakala bangsa Filipina seramai lapan orang, bangsa Cina seramai lima orang, Dusun tiga orang dan lainnya masing-masing masih seorang.

0 comments:

Post a Comment