Wednesday, August 16, 2017

Lawatan kerja ahli MMN ke Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 2 Ogos – Program lawatan kerja ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke tapak-tapak perusahaan pertanian dan perikanan yang diselenggarakan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) diteruskan lagi hari ini dan kali ini lawatan berkenaan tertumpu di tapak-tapak perusahaan di Daerah Belait.
Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk mengetahui pembangunan dan perkembangan industri pertanian serta perikanan yang terdapat di Daerah Belait, khususnya di Mukim Labi dan Mukim Sungai Liang, yang dimajukan secara komersial oleh pengusaha-pengusaha berkenaan ke arah membantu usaha-usaha bagi mempelbagaikan ekonomi negara.
Seramai 12 orang ahli MMN terdiri daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin, Yang Berhormat Haji Mohaimin bin Haji Johari @ Jahari, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohammad Siput, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit menyertai lawatan yang turut diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertanian Agrimakanan dan Jabatan Perikanan, KSSUP.
Rombongan mula-mula melawat Ladang Ternakan Udang Air Tawar dalam kolam Syarikat Usaha Tani Deli Dumanyang di Kampung Rampayoh Labi di tapak seluas lima hektar mula diusahakan pada tahun 1994 bagi ternakan udang air tawar (Giant Freshwater Prawn) dan Udang Galah (Macrobrachiumrosenbergii).
Syarikat itu mempunyai kolam-kolam ternakan bagi penghasilan udang dan pada masa yang sama dengan tunjuk ajar Jabatan Perikanan, syarikat tersebut berupaya mengusahakan penetasan bagi penghasilan anak-anak udang galah sendiri dan pada tahun 2015, syarikat ini telah menghasilkan sejumlah 191 tan metrik udang galah, manakala pada tahun 2016 telah berjaya menghasilkan jumlah 619 tan metrik udang galah, iaitu peningkatan sebanyak 224% dari tahun sebelumnya.

Rombongan ahli MMN semasa meninjau ke Syarikat Golden Chick Livestock Farm di kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sungai Petai.
Rombongan kemudiannya meninjau Ladang Ternakan Ayam Penelur kepunyaan Syarikat Golden Chick Livestock Farm di kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sungai Petai. Ladang tersebut telah mula dimajukan pada tahun 2015 dengan kaedah teknologi tinggi dan sistem reban tertutup.
Penternakan ayam penelur menggunakan sistem tertutup ini berupaya menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi, dengan kapasiti sebuah reban boleh memuatkan sehingga 26,000 ekor ayam berbanding reban ayam secara konvensional, dengan suhu reban yang terkawal dan kawalan penyakit yang lebih baik dapati menjamin penghasilan kualiti dan kuantiti telur ayam segar di negara ini, di samping membuka peluang bagi pasaran eksport yang lebih luas.
Pada bulan Januari hingga Jun 2017, syarikat ini telah mencatat hasil pengeluaran telur ayam segar lebih dari 22,901,950 biji.
Pada masa ini pihak syarikat berkenaan sedang membuat perbincangan dengan pihak berkepentingan di Republik Singapura bagi pengeksportan telur segar ke negara itu. Bagi memenuhi keperluan eksport itu, syarikat telah merancang untuk membina enam buah reban baru yang mana akan berupaya untuk mengeluarkan hasil telur ayam segar sebanyak 450,000 biji setiap hari.
Rombongan kemudian beralih ke Ladang Syarikat Kanglin Hidroponik di kawasan Kemajuan Pertanian Sungai Liang, ladang yang berkeluasan 2.8 hektar itu diusahakan dengan tanaman sayur-sayuran menggunakan sistem hidroponik. Pada tahun 2015, syarikat itu telah dapat mengeluarkan hasil sayur-sayuran sejumlah 82.32 tan metrik, manakala sehingga bulan Jun 2017 syarikat telah menghasilkan sayur-sayuran lebih daripada 28.00 tan metrik.
Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan, syarikat ini telah mengintegrasikan tanaman sayur-sayuran berkenaan dengan tanaman buah-buahan dan pelbagai tanaman yang telah dapat mengeluarkan hasil lebih daripada 6.70 tan metrik buah-buahan dan pelbagai tanaman pada bulan Januari hingga Jun 2017.

0 comments:

Post a Comment