Wednesday, August 16, 2017

Mantapkan ekonomi rumah panjang

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 1 Ogos –  Dalam usaha mengekalkan budaya bangsa Iban, satu majlis kesyukuran sempurnanya acara Sambutan Hari Gawai 2017 (Ngiling Bidai) berlangsung hari ini di ruang Ruai Rumah Panjang Kampung Teraja, Labi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan acara penyampaian cenderahati pada majlis tersebut ialah Merinyu Jentera Jabatan Kerja Raya Kuala Belait, Angkasan anak Jawa.
Pada majlis itu, Pengerusi Burong anak Nyanggau dalam ucapan alu-aluanya mengatakan majlis bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan penghuni dan penduduk kedua-dua buah Rumah Panjang Teraja dan Bang Taong, malah dihasratkan dapat memberi peluang kepada mereka bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran bagi memajukan ekonomi di rumah panjang.
Selain itu, majlis juga diharap dapat meningkatkan kesedaran bermasyarakat agar saling hormat-menghormati, mengekalkan kebudayaan masyarakat Iban dengan pelbagai aktiviti menjurus kepada adat resam, tatasusila serta tamadun bangsa yang tulen.
“Acara seperti ini juga turut diharapkan akan dapat meningkatkan penghasilan melalui eko pelancongan dengan mempromosikan Kampung Teraja termasuk rumah panjang yang kaya dengan budaya dan hasil kraftangan yang bukan mudah didapatkan di tempat lain,” katanya.
Tetamu Kehormat menyampaikan cenderahati kepada mantan ketua Rumah Panjang Teraja.Tetamu Kehormat menyampaikan cenderahati kepada mantan ketua Rumah Panjang Teraja.
Sumbangan berupa makanan asasi turut disampaikan oleh Pengarah Syarikat Asia Enterprise dan Pengurus Chiam Engineering Construction.Sumbangan berupa makanan asasi turut disampaikan oleh Pengarah Syarikat Asia Enterprise dan Pengurus Chiam Engineering Construction.
Majlis juga menyaksikan penyampaian sumbangan berupa makanan asasi kepada kira-kira 10 orang warga emas, ibu-ibu tunggal dan orang kurang upaya daripada Syarikat Asia Enterprise yang disampaikan oleh Pengarahnya, Chai Yum Fatt dan Chiam Engineering Construction disampaikan oleh Pengurusnya, Chiam Toon Kwang.
Sumbangan turut diberikan oleh Dr Toyad Dental Clinic dan Pengurus Syarikat Sin Nam Lee Store Labi serta daripada Chai Kim Sim.
Sebagai mengenang jasa, majlis juga turut diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada mantan ketua Rumah Panjang Teraja, Jamit anak Lasah dan cenderahati kepada tokoh dan pengasas Rumah Panjang Teraja, Gunong anak Sawan disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Turut hadir pada majlis itu ialah ketua-ketua Rumah Panjang Labi, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Labi I dan II.
Majlis turut diceriakan lagi dengan beberapa persembahan tradisi Iban, dan pameran-pameran kraf tangan dan sebagainya.
sumber : MediaPermata

0 comments:

Post a Comment