Wednesday, February 7, 2018

Hidupkan amalan bergotong-royong

KUALA BELAIT, 21 Jan – Balai Polis Labi dengan kerjasama pengawasan kejiranan (PK) mula menggiatkan aktiviti kebajikan memotong rumput dan menebang pokok-pokok di sepanjang jalan kawasan Kilometer 31 Jalan Labi, Sungai Liang, di sini.
Aktiviti tersebut disertai oleh tiga orang anggota polis dari Balai Polis Labi yang diketuai oleh Sarjan Keeleh bin Bidin bersama 12 orang ahli PK Kampung Labi 1 yang diketuai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi 1.
Turut hadir ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad bersama Datin Hajah Azizah binti Adam.
Aktiviti gotong-royong yang bermula dari jam 7 pagi hingga jam 11 pagi dan tertumpu di sepanjang kawasan jalan kawasan Kilometer 31 Jalan Labi berkenaan dibuat bagi memastikan jalan-jalan selamat digunakan dan penglihatan pengguna jalan raya tidak terhalang.
Sementara itu, aktiviti sama turut diadakan di kawasan Padang Sekolah Rendah Kampung Kiudang Daerah Tutong.



Yang Berhormat Awang Hanapi turut ikut serta dalam aktiviti kebajikan memotong rumput dan menebang pokok di kawasan Jalan Kilometeri 31 Jalan Labi.
Bagi Daerah Brunei dan Muara aktiviti kebajikan memotong rumput diadakan di kawasan RPN Kampung Mentiri.

Turut hadir dalam aktiviti yang bermula dari jam 6:30 pagi hingga jam 9 pagi tadi ialah Ketua Kampung Birau, Haji Burhanuddin bin Haji Hashim dan Ketua Kampung Kiudang, Haji Muhammad Saiful bin Abdullah bersama empat orang ahli PK Mukim Kiudang serta lima anggota polis dari Balai Polis Lamunin.
Ia secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim dan memberi peluang kepada orang ramai khasnya ahli PK membantu menjaga kebajikan serta keselesaan warga sekolah terutama para pelajar.
Manakala di Daerah Brunei dan Muara pula, aktiviti serupa turut dijalankan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, di mana gandingan Ketua Kampung RPN Kampung Mentiri 1, Pengiran Haji Alliuddin bin Pengiran Haji Damit dan Ketua Kampung RPN Kampung Mentiri 2 Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Hidup telah memeriahkan lagi aktiviti berkenaan.
Sementara itu, dua orang ahli Focal Point PK Balai Polis Muara diketuai oleh S/Sgt 2870 Dahlan bin Mohamed dan empat ahli PK RPN Kampung Mentiri diketuai Haji Thamit bin Alias turut menyertai aktiviti pagi tadi.
Aktiviti yang diadakan dari jam 7 hingga 9:30 pagi itu antara lain bertujuan bagi mendedahkan lagi cara kehidupan masyarakat di negara ini yang masih mengekalkan amalan bergotong-royong, di samping mengekalkan keharmonian bermasyarakat.

0 comments:

Post a Comment