Wednesday, February 7, 2018

MPK Labi 1 adakan gotong-royong

KUALA BELAIT, 29 Jan – Sebagai usaha untuk terus menjaga kebersihan dan keselamatan alam sekitar, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Labi 1 telah menganjurkan kerja bergotong-royong membersihkan kawasan di Kilometer 18 Kampung Tenajor Jalan Labi, di sini.
Kerja pembersihan yang melibatkan kerja-kerja memotong dahan-dahan pokok terbiar itu disertai sama oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Mukim Labi 1 merangkap Ketua Kampung Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.
Menurut beliau, kegiatan itu dilakukan bagi menjaga keselamatan para pengguna jalan berkenaan, memandangkan terdapat sebahagian daripada dahan-dahan pokok berkenaan sudah semakin condong ke kawasan jalan dan ia turut menjadi kebimbangan penduduk di sini.

Yang Berhormat Awang Hanapi ketika menyertai aktiviti gotong-royong tersebut.

“Penduduk kampung semakin risau dengan keadaan dahan-dahan yang terbiar itu, terutama sekali pada masa ini, musim hujan dan kadang-kadang angin bertiup kencang. Sehubungan dengan itu, kami bertindak untuk melaksanakan segera kerja gotong-royong ini yang turut disertai penduduk setempat,” katanya.
Di samping itu, kerja gotong-royong itu juga merupakan antara aktiviti MPK Labi 1 bagi tahun 2018 ini, dengan tujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara ahli-ahli dengan masyarakat di persekitaran kampung.
Turut sama menyertai aktiviti itu ialah Penasihat MPK Labi 1, Haji Mohd Zeni bin Latip serta ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Labi dan penduduk setempat.

0 comments:

Post a Comment