Friday, April 13, 2018

Bersama bangunkan ekosistem perniagaan

Oleh Sim Y. H. & Pg Fairol RMF
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Pihak yang berkepentingan dari pelbagai bidang disarankan untuk terus bekerjasama dan berinteraksi di antara satu sama lain ke arah membangunkan sebuah ekosistem yang kondusif, pro-perniagaan dan pro-pelaburan di Negara Brunei Darussalam.
Dalam hubungan itu, amat penting untuk mengamalkan pendekatan whole-of-nation dalam memupuk dan membangunkan ekosistem perniagaan itu di mana ia memerlukan kerjasama yang erat antara sektor kerajaan dan sektor swasta.
Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan penambahbaikan dalam Laporan Doing Business Bank Dunia tiga tahun kebelakangan ini, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bersama untuk memastikan bahawa penambahbaikan itu dicerminkan serta dirasakan oleh mereka yang berkepentingan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Penekanan itu dibuat oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein (gambar) ketika berucap semasa Sesi Perangkaian Borneo Bulletin Yearbook yang berlangsung di Restoran Horizons, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Di samping itu, beliau juga menyeru perusahaan untuk bekerjasama dengan Darussalam Enterprise (DARe) dan Sekretariat Ease of Doing Business di bawah Jabatan Tenaga dan Perindustrian untuk memberikan bantuan, sokongan dan berdialog.

Beliau berkata bahawa perniagaan atau perusahaan boleh mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan perniagaan di pusat sehenti, Pusat Sokongan Perniagaan di bawah DARe.
Sementara itu, bagi perusahaan yang ingin mencari sumber untuk mengembangkan lagi perusahaan masing-masing, mereka digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai program pembangunan kapasiti DARe yang sedia ada di mana ia memberikan sokongan nasihat, skim bantuan kewangan dan latihan sumber manusia.
Beliau juga berkata bahawa DARe dan Sekretariat Ease of Doing Business turut berada di barisan hadapan memperkenalkan inisiatif berkaitan perniagaan menerusi platform BusinessBN yang menawarkan portal sehenti bagi sumber dan reformasi kerajaan yang berkaitan dengan proses perniagaan atau menerusi platform media BizBrunei yang mengetengahkan naratif dan pertumbuhan PMKS tempatan.
Pada masa yang sama, DARe juga mengadakan pelbagai sesi dialog yang terbuka bagi penyertaan oleh perusahaan dan peniaga di mana mereka digalakkan untuk menyertai sesi berkenaan serta diberikan peluang untuk memberikan maklum balas, mengetengahkan isu dan kebimbangan mereka kepada wakil-wakil kerajaan yang berkenaan.
Usaha memperkenalkan inisiatif itu, jelas Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny, juga dibantu dengan penerbitan seperti Borneo Bulletin Yearbook yang memainkan peranan penting dalam mengetengahkan inisiatif kerajaan dan suasana pelaburan serta perniagaan negara.
Beliau juga menghargai usaha Borneo Bulletin Yearbook yang mengetengahkan beberapa kisah kejayaan dalam industri minyak dan gas dalam edisi 2018 buku berkenaan.
Menurut Yang Berhormat Dato, pihaknya terus berusaha untuk membangunkan lagi industri minyak dan gas serta untuk memanfaatkan kekuatan dalam industri berkenaan untuk memandu pembangunan ekonomi negara.
Beliau berkata bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat minyak dan gas untuk mempromosi dan membangunkan bakat tempatan melalui usaha Bruneisation dan memastikan terdapat peluang-peluang bagi syarikat-syarikat tempatan termasuk syarikat baharu.
Beliau menaruh harapan bahawa usaha bersama itu akan membawa kepada usaha mempromosikan peluang-peluang yang ditawarkan oleh Brunei selaras dengan Wawasan 2035.
sumber : Media Permata 

0 comments:

Post a Comment