BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Sebelas kompaun telah dikeluarkan ke atas enam buah kenderaan atas beberapa kesalahan lalu lintas dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), baru-baru ini.
Kesalahan-kesalahan yang didapati dalam operasi yang dijalankan oleh enam orang pegawai penguat kuasa JPD seawal 6 pagi di Jalan Labi/Marangking, Daerah Belait dan Long Mayan, Daerah Tutong ialah membawa muatan secara menganjur, kenderaan berat yang tidak membawa sijil kelayakan kenderaan, kenderaan tidak dalam keadaan baik, tayar botak dan sebagainya.
JPD dalam kenyataannya sekali lagi menekankan kepada pengusaha-pengusaha dan pemilik-pemilik syarikat pengangkutan supaya bersifat bertanggungjawab dengan memberi amaran tegas kepada pemandu-pemandu syarikat mereka supaya mematuhi akta dan peraturan lalu lintas.
Operasi yang dijalankan adalah usaha secara berterusan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan orang ramai khususnya para pengguna jalan raya.
0 comments:
Post a Comment