Thursday, July 13, 2017

Azam laksana tanggungjawab sebaiknya

Yang Berhormat Awang Hanapi.

Yang Berhormat Ong Tiong Oh.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty.

Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H.

Gambar oleh Muiz Matdani



BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pelantikan mereka serta berazam untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

Salah seorang ahli MMN yang dilantik dari daerah-daerah, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput yang juga Ketua Kampung Labi I berkata, beliau akan berusaha untuk membawa beberapa perkara yang telah disuarakan oleh masyarakat dan penduduk kampung yang mempunyai harapan begitu tinggi untuk kemajuan daerah khususnya dan negara amnya semasa Musim Permesyuaratan ke-13 MMN yang akan bermula 6 Mac ini.

“Lantikan ini sememangnya adalah berat bagi saya, walau bagaimanapun saya akan mencuba sedaya upaya untuk menjawat jawatan sebagai ahli MMN dan pada masa yang sama memohon kerjasama pada masyarakat agar sama-sama berganding bahu semata-mata untuk kemajuan dan kesenangan penduduk kampung khususnya dan masyarakat amnya,” ujar beliau selaku ahli MMN bagi Zon 2, Daerah Belait semasa ditemui pada Majlis Mengangkat Sumpah di Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Yang Berhormat Awang Hanapi turut melahirkan harapan agar pelbagai perkara yang akan disuarakan pada musim permesyuaratan itu nanti akan dapat diberikan perhatian daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Sementara itu, Yang Berhormat Awang Ong Tiong Oh pula menyatakan bahawa pelantikan yang baru ini begitu mencabar dan pihak yang tertentu telah membuat persiapan yang rapi.

Dengan peluang yang diberikan ini, beliau ingin menekankan kepentingan untuk mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan melalui pelaburan langsung asing, katanya.

Seorang lagi ahli yang terdiri daripada orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan yang sempat ditemu bual, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman pula mengongsikan antara isu-isu yang bakal dibangkitkan semasa musim permesyuaratan itu.

Antara isu yang disebutkannya termasuk bidang profesional, pendidikan dan keusahawanan dan cara-cara untuk mendorong generasi muda agar maju ke hadapan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan agar mereka dapat berdiri dan bertahan dengan cara sendiri dan berkekalan.

Beliau menekankan lagi, generasi muda haruslah tidak bersikap begitu memilih dalam mencari pekerjaan walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi kerana terdapat pekerjaan yang memberikan latihan penuh bagi mana-mana mereka yang berminat untuk bekerja.
“Pihak kami, dalam isu ini, ingin bekerjasama bersama pihak-pihak kementerian untuk melihat sendiri apa yang perlu dibuat dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada generasi-generasi muda ini. Kami haruslah memberikan mereka harapan dan mendorong mereka walaupun tidak berkelayakan tinggi bahawa masih terdapat peluang pekerjaan bagi mereka,” ujarnya.

Beliau juga menekankan mengenai peluang latihan pekerjaan yang diberikan oleh pihak berkepentingan dalam mewujudkan peluang pekerjaan walaupun tidak mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi.

Dengan adanya latihan-latihan yang diberikan oleh pihak kerajaan ataupun pihak swasta itu, menurutnya, akan dapat mengurangkan lagi kadar pengangguran di samping dapat memberikan pekerjaan kepada orang-orang tempatan daripada mengambil pekerja asing.

Semasa menyentuh mengenai bidang keusahawanan pula, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty menjelaskan bahawa bidang ini seharusnya sudah dititik beratkan dan diserapkan semasa pendidikan peringkat awal lagi seperti semasa sekolah menengah dalam memastikan mereka diberikan pendedahan dan latihan dari peringkat awal lagi.

Beliau berharap agar generasi muda juga akan dapat mengubah pemikiran mereka untuk dapat menerima apa yang telah disediakan untuk mereka dalam sama-sama berganding bahu mengurangkan pengangguran dan memajukan ekonomi negara.

0 comments:

Post a Comment