Thursday, July 13, 2017

Kebakaran ranap kediaman 7 sekeluarga

Keadaan rumah dua tingkat ranap dijilat api dalam kejadian kebakaran petang kelmarin di Kampung Petai, Labi.


Oleh Hajah Saemah Kepli



KUALA BELAIT, 6 Mac – Sebuah keluarga seramai tujuh orang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka ranap dalam kejadian kebakaran yang berlaku petang kelmarin di Kampung Petai, Labi, di sini.

Semasa dihubungi hari ini, Pegawai Bomba Labi melaporkan menerima panggilan tentang kejadian berkenaan kira-kira pukul 3:51 petang kelmarin dan telah mengejarkan seramai enam orang anggota Balai Bomba Labi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Bomba Labi, Awang Mohd Jeffry bin Ura dan tiba di tempat kejadian pada pukul 4:15 petang.

Menurut mereka, kebakaran berjaya dikawal dalam masa kira-kira 20 minit dan rumah dua tingkat (tingkat atas diperbuat daripada papan dan konkrit di tingkat bawah) berkenaan hangus sepenuhnya malah turut meranapkan empat buah kereta yang diletakkan di kawasan rumah terbabit. Pemilik rumah, Tuwat anak Manggau, 71, bersama isterinya serta anak lelaki dan menantu serta tiga orang cucu yang tinggal di rumah itu, dilaporkan tidak berada di rumah semasa kejadian.

Menurut pihak bomba, pegawai pencegah kebakaran daripada Ibu Pejabat Cawangan Operasi B, Jabatan Bomba dan Penyelamat Belait mengesahkan bahawa keseluruhan harta benda dalam rumah tidak dapat diselamatkan dan kebakaran dipercayai berpunca daripada kerosakan pemampat sebuah peti sejuk yang diletakkan di dapur tingkat bawah rumah.

Akibat kejadian itu, keluarga terbabit dianggarkan mengalami kerugian kira-kira $200,000.
Api turut meranapkan empat buah kereta yang diletakkan berdekatan rumah tersebut.
Dalam kerja memadam kebakaran berkenaan, Balai Bomba Labi turut mendapat bantuan dari Bomba SPARK Sungai Liang dan kejadian juga sudah dimaklumkan kepada ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Penghulu Mukim Labi, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.

Semasa dihubungi hari ini, Yang Berhomat Awang Hanapi memberitahu, beliau telah melaporkan tentang kejadian berkenaan kepada Pegawai Daerah Belait dan juga Jabatan Pembangunan Masyarakat Belait (JAPEM) untuk tindakkan susulan ke atas mangsa kejadian.

Sementara itu, dalam temu bual dengan anak pemilik rumah, Joharie anak Tuwat, 42, yang tinggal di rumah berkenaan memberitahu, semasa kejadian mereka berada di Bandar Seri Begawan dan telah menerima panggilan daripada sepupunya kira-kira pukul 3:45 petang yang memberitahukan tentang kejadian.

“Kami bergegas menuju balik, tetapi setelah sampai, kami hanya melihat keadaan rumah sudah ranap dijilat api, begitu juga dengan kereta-kereta yang diletakkan berdekatan rumah kami turut ranap kesemuanya,” katanya.

Beliau dan isteri serta tiga orang anaknya, pada masa ini terpaksa menumpang dengan kakak iparnya di Kuala Belait, manakala kedua ibu bapanya kini tinggal menumpang dengan anak mereka di Kampung Lumut. Menurutnya, setakat ini mereka telah menerima bantuan berbentuk makanan asasi daripada JAPEM dan juga bantuan pakaian dan susu daripada Persatuan Bulan Sabit Merah.

Joharie juga memberitahu mereka telah mendiami rumah tersebut lebih 20 tahun dan kini mereka sudah tidak lagi mempunyai tempat tinggal dan berharap pihak berkenaan akan dapat membantu dengan memberikan tempat tinggal kepada mereka sekeluarga.

0 comments:

Post a Comment