KUALA BELAIT, 30 Mei – Kira-kira 30 orang ahli Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja Labi, hari ini, bergotong-royong memotong dan membersihkan pokok-pokok tumbang yang menghalang laluan masuk ke kawasan Wasai Teraja, di sini.
Kerja gotong-royong tersebut yang diketuai oleh pengerusinya, Burong Nyanggau, bertujuan untuk mencantikkan serta memberikan keselesaan kepada pengunjung ke wasai berkenaan, terutama sekali para pelancong yang sering membuat lawatan ke sana.
Ia juga untuk memudahkan dan melancarkan perjalanan ke kawasan tersebut yang hanya mengambil masa 30 minit berbanding sebelumnya.
Gotong-royong tersebut telah melibatkan pembersihan di kawasan Wasai Teraja dengan memotong kayu-kayu yang menghalang perjalanan dan persekitarannya demi menjamin keselamatan para pengunjung ke sana serta bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Setiausaha Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja, Gaung Jamit memberitahu Media Permata, pada masa ini rumah panjang tersebut telah menjalin hubungan kerjasama dengan syarikat tempatan, SAKAM Adventure bagi tujuan menarik lebih ramai lagi pelancong dan menyumbang kepada peningkatan jualan produk-produk kampong.
Menurutnya, pada Januari saja kira-kira 200 pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke wasai tersebut.
“Dengan adanya tempat-tempat menarik di kawasan Kampung Teraja, setentunya dapat menambah penghasilan yang berterusan sebagai menjana pendapatan.
“Bahagian pengurusan rumah panjang kampung juga ada menawarkan pakej inap desa dengan menyediakan makanan tradisi ayam dalam buluh, persembahan kebudayaan dan demonstrasi perkahwinan adat masyarakat Iban, pertunjukan menyumpit serta pameran kraf tangan dan anyaman, Jungle Tracking, Bird Watching dan Night Safari,” katanya.
Menurut beliau lagi, kunjungan pelancong ke Kampung Teraja sudah setentunya menjadi pemangkin kepada projek Satu Kampung Satu Produk menerusi ekopelancongan yang berorientasikan mesra alam dan sebagai penglibatan masyarakat setempat kepada pembangunan dan kemajuan ekopelancongan yang mampan, teratur, terurus, selamat dan berdaya tahan.
“Setiap pelancong kami sarankan supaya dapat melaporkan diri ke pos polis sebelum mengadakan lawatan ke wasai-wasai atau Rumah Panjang Teraja atau pun sebelum memasuki kawasan hutan di persekitaran Teraja.
“Selain itu setiap pelawat dikehendaki menyumbang bayaran kemasukan $3 bagi orang dewasa dan $1 untuk kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah,” tambah Gaung Jamit.
Beliau juga menjelaskan pembayaran itu hendaklah dibuat di Rumah Panjang Teraja setelah selesai pendaftaran di Pos Polis berdekatan, manakala bagi pembayaran keperluan juru pandu pelancong ke wasai-wasai pula akan dikenakan sejumlah $60 bagi satu kumpulan sehingga ke 25 orang, serta pembayaran keperluan Juru Pandu ke Bukit Teraja dikenakan pembayaran sejumlah $80 bagi satu perjalanan.
0 comments:
Post a Comment