Friday, July 14, 2017

Hapus Penyakit Untut




Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 2 Sept – Program Penghapusan Penyakit Filariasis Limfatik (Untut) bagi fasa pengambilan dan ujian darah pasca MDA telah diadakan di Rumah Panjang Teraja di sini.
Program yang telah bermula sejak 25 Ogos dan akan berakhir esok itu diadakan pada sebelah malam dari jam 7 hingga 9 malam. Rumah Panjang Teraja merupakan salah sebuah kampung di Mukim Labi yang termasuk dalam jadual program tersebut selain kampung-kampung lain di Mukim Bukit Sawat, Ulu Labi.
Program tersebut merupakan susulan program pemberian ubat (MDA) yang telah dijalankan sejak beberapa tahun yang lalu dan untuk mengenal pasti ketersebaran Untut sama ada ia di bawah tahap yang telah ditetapkan.
Melalui fasa ini, beberapa kumpulan pekerja kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah Belait telah membuat lawatan dan mengadakan pengambilan darah di rumah-rumah penduduk kawasan yang telah dipilih.
Kumpulan-kumpulan berkenaan dibahagikan kepada dua pasukan iaitu untuk berkumpul di Klinik Kesihatan Labi bagi Mukim Labi manakala kumpulan kedua bergerak ke rumah-rumah.
Begitu juga bagi Mukim Bukit Sawat, di mana kumpulan pertama berkumpul di Dewan Serba Guna Merangking dan satu lagi bergerak ke rumah-rumah di kawasan berkenaan.
Sementara itu, semasa berada di Rumah Panjang Teraja, semua penghuninya telah berkumpul bagi sama-sama memberikan contoh darah selain turut diberikan ubat-ubatan pencegahan penyakit Untut. Melalui program tersebut, contoh darah yang diambil akan dibawa ke makmal bagi mengenal pasti sama ada mikrofilaria ada atau tidak di dalam darah.
Penyakit Untut merupakan sejenis penyakit berjangkit bawaan nyamuk, disebabkan oleh sejenis parasit yang berbentuk cacing halus dikenali sebagai mikrofilaria.
Cacing-cacing tersebut boleh membiak dalam tubuh badan manusia, dan jika tidak dirawat ia boleh menyekat saluran sistem limfa dan menyebabkan bengkak di bahagian anggota badan tertentu seperti kaki dalam tempoh empat hingga enam tahun selepas jangkitan.

0 comments:

Post a Comment