Wednesday, July 12, 2017

Tingkat kesedaran penjagaan alam sekitar


BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), baru-baru ini, telah mengadakan program sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-3 Hari Menanam Pokok PPNBD bertempat di Kawasan Projek Penanaman Pokok PPNBD, KM 12, Kampung Sungai Mau, Jalan Labi-Liang, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Hadir pada Sambutan Hari Menanam Pokok PPNBD kali ke-3 itu ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali.

Turut hadir ialah Pengurus Projek Penanaman Pokok PPNBD, Haji Othman bin Durani, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap daerah, para pemimpin pasukan pengakap, penolong pemimpin pasukan pengakap dan ahli-ahli pengakap.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program itu diperkenalkan sebagai menyuntik sikap dan semangat kesedaran mengenai penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan ahli-ahli pengakap serta meningkatkan kesedaran ahli-ahlinya mengenai kepentingan alam sekitar dan juga sebagai salah satu Inisiatif Program Perutusan Kedamaian dengan pengisian Program Hari Menanam Pokok Pengakap Negara Brunei Darussalam yang telah dilancarkan sejak tahun 2014.

Perutusan Kedamaian merupakan sebuah program global yang melibatkan ahli-ahli Pengakap dari seluruh dunia. Ahli-ahli pengakap akan membuat sesuatu projek yang dapat menyumbangkan kepada konsep perdamaian di peringkat negara masing-masing.
Haji Badar dalam ucapan alu-aluannya telah memuji dan menghargai inisiatif yang telah dijalankan oleh ahli-ahli pengakap Negara Brunei Darussalam meskipun sambutan pada tahun ini jatuh di bulan Ramadan.

Ianya tidak menghalang kesungguhan ahli-ahli pengakap dalam mendokong perlaksanaan program mengenai pemeliharaan secara berterusan ekosistem sumber hutan serta alam sekitar yang sedang dilaksanakan melalui penjagaan tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok tertentu yang masih dipenuhi dengan hutan hijau diliputi dengan flora dan fauna yang berfungsi menjadikan satu ekosistem yang sempurna membekalkan udara segar dan air yang bersih.

Selain itu, aktiviti berkenaan juga dapat menjadi nilai tambah yang sangat berguna dalam pembelajaran di luar bilik darjah kepada peserta program.

Aktiviti yang telah dijalankan semasa sambutan pada tahun ini adalah menanam sebanyak 20 anak pokok jenis Tulung yang telah dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan.

Sehingga kini jumlah keseluruhan anak-anak pokok yang berjaya ditanam adalah sebanyak 2,740 yang terdiri dari jenis pokok Tulung, Semalar, Kapur dan Kayu Putih.

0 comments:

Post a Comment